Ahad, 23 Disember 2012

Kuntuman Ukhuwah

Perumpamaan orang-orang yang beriman dalam cinta dan berkasih sayang mereka bagaikan satu jasad yang bila salah satu anggota badan sakit seluruh jasad merasakan sakit panas dan berjaga.”
(HR Abu Duwud, At-Tarmidzi, Al-Balhaqi, dan Al-Bukhari dlm Al-Mufrad)

.::.Seperti Sebuah Lakaran Indah.::.


Rata di tapak yang berliku,

Langkah yang seiring tidak pernah mati,

Bersama cinta yang arusnya benar,

Puncaknya tetap sama,
Biarpun berbeza haluan.

Tulus kian terpasak pada nurani,

Demi tunas-tunas keredhaan,
Hikmah alunan membingkis pedoman,
Untuk menyebarkan bahagia.

Menjadi bahu yang kukuh pada setiap titisan derita,

Agar ketawa dan air mata adalah ketenangan.

Sesungguhnya, bersaudara itu adalah keindahan,

Dan orang-orang Islam itu adalah bersaudara.


"saat jiwa digilis hampa, pandanglah ke langit... kelam yang terhias dengan kerdipan bintang-bintang itu pasti menyuluh bahagia. Air mata tidak pernah bererti sekiranya ia bukan dari rasa takut kepada Allah s.w.t."

Madah terindah yang menghiasi bibir teman yang bernama muslimah.


Madah yang asalnya dari jiwa yang putih itu adalah dasarnya kasih sayang. Kasih sayang seorang sahabat yang berdiri di atas rasa kesaudaraan. Umpama dua tangan yang memberi hulur di saat kita hampir longlai tersungkur, jauh tenggelam dalam suara kesakitan. Inilah yang dikatakan bersaudara itu indah, dan umat Islam itu adalah bersaudara.


Setelah awal kaki kita mula melangkah ke alam luar dari lingkungan keluarga, pasti yang menyambut itu adalah sahabat. Yang menjadi penentu tawa dan air mata juga sahabat. Bermula di bangku persekolahan sehingga terbang ke angkasa. Sahabat adalah bayang-bayang. Menghampiri hakikat terindah ini, jodoh adalah jawapannya. 

Bertemu dan melakarkan kenangan dengan sulaman kekuatan dan ketabahan antara sahabat adalah jodoh. Begitu cukup bagi kita untuk mengerti bahawa jalan yang dipilih itu adalah pilihan sendiri, yang telah tersurat di Loh Mahfuz. Begitu besar wangiannya menjadi bukti betapa suci persaudaraan yang merupakan seruan agama. Saudara yang terhampir harus disyukuri. Saudara yang jauh harus dirindui. Dan pengikatnya adalah doa.


Tidak pernah rugi andai kita cuba mengutip rasa bahagia dari sekuntum persahabatan di antara yang mekar-mekar. Kuntuman yang paling ajaib hadirnya. Berpatah pada kelalaian dan bertunas pada kecintaan. Yang resahnya hanya pada maksiat, bahagianya hanya pada jariah. Harumannya pasti melunaskan segala kesengsaraan dan kegusaran jiwa-jiwa yang mendekati.


Biarlah jalinan paling suci ini seiring dengan hikmah bingkisan dan ikhlas suluhan, agar mencintai persahabatan adalah di atas cinta kepada Allah S.W.T.

..أحبكم في الله